Tuesday, December 2, 2008

Bahaya riba!!!!!!


Firman Allah Taala di dalam surah Al-Baqarah 278-279;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لا تَظْلِمُونَ وَلا تُظْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

Sabda Baginda sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Majah;

عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُقْرِضُ مُسْلِمًا قَرْضًا مَرَّتَيْنِ إِلَّا كَانَ كَصَدَقَتِهَا مَرَّةً
Maksudnya: Daripada Ibn Mas’ud, sesungguhnya Nabi bersabda; Mana-mana Muslim yang memberi pinjaman kepada saudaranya semuslim dua kali, maka ia seumpama sedekah satu kali.

Sabda Baginda hadis yang disahihkan oleh al-Hakim;

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رضى الله عنه قال : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم : " قَالَ اللَّه تَعَالَى : أَنَا ثَالِثُ الشَّرِيْكَيْنِ مَالَمْ يَخُنْ أَحَدُهُمَا صَاحِبَه فَإِذَا خَانَ خَرَجْتُ مِنْ بَيْنِهِمَا "

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah, baginda bersabda: Allah Taala berkata: Aku pekongsi yang ketiga (dalam perniagaan) selagi mana masing-masing tidak mengkhianati rakan kongsinya. Jika salah seorang khianat aku keluar meninggalkan mereka.
Daripada ketiga-tiga dalil tersebut dalam kita simpulkan bahawa Allah;

1) Mencela mereka yang memakan riba
2) Menggesa untuk membantu saudara semuslim dengan memberi pinjaman wang
3) Kebersamaan Allah dengan hamba-hamba yang berniaga dan memberkati mereka.

BERHIMPUN DUA AKAD DALAM SATU AKAD
Maksud berhimpun dua akad ialah; Akad pinjaman yang dibuat disertakan syarat dengan dimasukkan akad lain seperti akad jual beli atau sewaan atau pinjaman lain atau lain-lain.
Menjadi perbahasan Ulama sama ada dibenarkan berlaku pertindihan atau penambahan akad kepada akad pinjaman yang telah dibuat kepada beberapa perbahasan. Terlalu banyak gambaran masalah berkaitan perkara ini. Mungkin boleh disimpulkan kepada dua gambaran;

1) Meletakkan syarat mesti melakukan akad jual beli atau seumpamanya yang terdiri daripada akad mua’wadat (serah terima. Bukan seperti sedekah, hadiah dan lain-lain. Ini dinamakan akad tabarrua’t) di dalam akad pinjaman yang telah dibuat. Ini juga termasuk jika meletakkan syarat menjadikan peminjam sebagai pencarum jika perniagaan peminjam mendapat keuntungan.
2) Meletakkan syarat akad pinjaman yang lain dalam akad pinjaman yang telah dibuat. Seumpama ucapan; “Jika aku beri pinjam kepada kamu, selepas ini kamu kena beri pinjam kepada aku”.
Di dalam masalah yang pertama; sepakat Ulama mengatakan akad yang dibuat ini tidak sah. Dalil Ulama berhubung perkara ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi dan merupakan hadis hasan sahih;

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَحِلُّ سَلَفٌ وَبَيْعٌ وَلَا شَرْطَانِ فِي بَيْعٍ وَلَا رِبْحُ مَا لَمْ يُضْمَنْ وَلَا بَيْعُ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ

Maksudnya: Bersabda Nabi; Tidak halal berhutang dan berjual beli dalam satu masa, tidak boleh dua syarat (jual beli) dalam satu akad, tidak boleh mendapat keuntungan pada jualan barangan yang belum dipindah milik dan tidak boleh menjual apa yang tiada di sisi mu.

Berkata Ibn Qayyim di dalam I’lam Muwaqqi’in: Baginda Nabi melarang menghimpunkan di antara pinjaman dan jual beli di dalam satu akad. Ini merupakan hadis sahih. Maklum mengetahui jika diasingkan di antara pinjaman dan jual beli di dalam akad yang berasingan, nescaya kedua-kedua akad itu sah. Akan tetapi diharamkan menghimpunkan keduanya di dalam satu akad demi mengelakkan daripada memperoleh keuntungan pada pinjaman yang diberi. Ini membawa kepada riba yang diharamkan.
Antara alasan lain ulama mengharamkan perbuatan tersebut; Sikap sebegini akan menukarkan daripada akad asal kepada akad yang lain. Akad pinjaman adalah akad tabarrua’t adapun akad mudarabah (perkongsian perniagaan) adalah akad mua’wadat. Perbuatan ini akan mengeluarkan daripada tujuan asal akad itu dibuat dan menafikan perjanjian pertama yang telah dibuat.

DARURAT DALAM PINJAMAN
Darurat hanya akan dikatakan darurat jika tidak terdapat alternatif yang dihalalkan. Itu pun jika perkara tersebut boleh dikategorikan sebagai darurat. Banyak perkara yang dianggap masyarakat sebagai darurat tetapi apabila dikaji ia tidak mencapai tahap darurat sebagaimana yang disangka. Lagi pula masih terlalu banyak alternatif yang dihalalkan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi jika penanya berada di dalam keadaan tersebut. Antara alternatif yang boleh diguna pakai;

1) Membuat pinjaman dari badan kebajikan yang membantu peniaga Muslim. Badan-badan pertubuhan yang memberikan pinjaman tanpa riba masih banyak di negara kita.
2) Gadaian
Membuat pinjaman dengan sistem gadaian. Kebanyakan masyarakat hari ini khuatir untuk memberi pinjam kerana tidak yakin wang yang dipinjam dapat dikembalikan. Jika dapat memberikan jaminan dengan memberikan gadaian yang akan ditebus kembali apabila selesai hutang dibayar, maka pasti ada pihak tertentu yang sudi untuk memberikan pinjaman kepada yang memerlukan.
3) Tawarruk
Kaedah Tawarruk sebagaimana yang dijelaskan di dalam Fiqh Islami: Seseorang memerlukan pinjaman tetapi tidak ada yang boleh meminjamkan wang kepadanya. Cara yang dibuat ialah membeli apa-apa barang dari seseorang dengan harga yang lebih tinggi dari pasaran secara hutang. Kemudian diambil barang itu dan dijual di pasaran dengan harga semasa secara tunai. Maka dia mendapat wang yang diperlukan. Contoh: A membeli mesin jahit daripada B dengan harga RM 300 secara bayaran berhutang atau bayaran ansuran. Harga pasaran bagi mesin jahit adalah RM 250. Lalu A menjual mesin jahit di pasaran dengan harga semasa atau lebih murah secara tunai. Dengan cara ini A memperoleh wang yang diperlukannya.
4) Memberikan keuntungan tanpa syarat di dalam akad. Apabila mendapat keuntungan diserahkan kepada peminjam berserta dengan wang pinjamannya. Ini dengan syarat jika perkara tersebut tidak menjadi adat masyarakat apabila meminjam akan dibayar lebih daripada apa yang dipinjam.

Ulama sepakat mengatakan haram jika disyaratkan di dalam akad pinjaman supaya membayar lebih daripada apa yang dipinjam. Jika pembayaran yang dibuat oleh peminjam lebih daripada yang dipinjam tanpa disyaratkan, Jumhur Ulama membenarkan perbuatan tersebut. Bahkan sebahagian mengatakan ia sunat. Pendapat ini di dokong oleh Hanafiah, sebahagian Malikiyah, Syafieyah, Hanabilah, Ibn Umar, Hasan bin Ali, Said bin Musayyib, al-Hasan al-Basri, Ibn Hazam dan selain mereka.

Dalil mereka di dalam perkara ini, sabda Nabi sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim;

عَنْ أَبِي رَافِع أَنَّ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اِسْتَسْلَفَ مِنْ رَجُل بَكْرًا ، فَقَدِمَتْ عَلَيْهِ إِبِل مِنْ إِبِل الصَّدَقَة ، فَأَمَرَ أَبَا رَافِع أَنْ يَقْضِي الرَّجُل بَكْره ، فَرَجَعَ إِلَيْهِ أَبُو رَافِع فَقَالَ : مَا أَجِد فِيهَا إِلَّا خِيَارًا رَبَاعِيًا ، فَقَالَ : أَعْطِيه إِيَّاهُ فَإِنَّ خِيَار النَّاس أَحَسَنُهمْ قَضَاءً

Maksudnya: Daripada Abu Rafi’ bahawa Rasulullah meminjam daripada seorang lelaki seekor anak unta. Apabila diberi kepada baginda unta daripada unta sedekah maka baginda memerintahkan Abu Rafi’ untuk membayar hutang unta kecil yang pernah dipinjam Rasulullah. Abu Rafi’ kembali berjumpa Rasulullah dan berkata: Aku tidak temui unta untuk membayar hutang kecuali yang terlebih baik daripada yang pernah kita pinjam. Bersabda Nabi: Berikan unta yang lebih baik itu, sesungguhnya sebaik-baik manusia adalah sebaik-sebaik di dalam membayar hutang.

KESIMPULAN
Daripada apa yang telah diperjelaskan dapat disimpulkan;
1) Tidak dibenarkan berlaku pertindihan akad dan meletakkan syarat yang menyalahi matlamat akad itu dibuat.
2) Pertanyaan yang ditanya tidak menggambarkan masalah tersebut mencapai tahap darurat pada pandangan syarie.
3) Terdapat alternatif syarie untuk keluar daripada permasalahan yang ditanya.
4) Berhati-hati dengan urusan riba kerana tidak terdapat ancaman sehebat ancaman Allah di dalam perkara riba.
Allahu A’lam

2 comments:

Unknown said...

Assalam tuan, jika ade kelapangan dan membaca komen ini mohon msej @ wassup saya, izam dari Melaka 013-3888637..ade sedikit pertanyaan tentang isu ini..tq

Anonymous said...

Assalamualaikum ustaz.Saya merupakan seorang pelajar.Saya menerima voucher buku dan saya ingin menukarnya sebagai bentuk wang.Rata2 kedai yang saya pergi kebanyakannya hanya menerima rm200 sebagai tukaran tetapi voucher itu sebanyak rm250.Adakah itu dianggap riba?Jikalau saya menganggap rm50 itu sebagai sedekah kepada pemilik kedai itu adakah diterima atau tidak?