Saturday, June 14, 2008

Perkara yang membatalkan wudhu'...


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين , أما بعد

Terdapat empat perkara yang membatalan wuduk di sisi Syafieyyah;

1) Keluar sesuatu daripada qubul atau dubur kecuali mani

2) Hilang akal kecuali tidur tetap papan punggung

3) Tersentuh kulit lelaki dengan wanita kecuali mahram

Maksud batal wuduk adalah seseorang menyentuh bukan mahramnya dengan menggunakan tangannya atau selainnya. Begitu juga bagi yang disentuh sama ada tangannya atau selainnya. Kesemuanya ini membatalkan wuduk di sisi Syafieyah.

4) Menyentuh kemaluan dan lubang dubur anak Adam dengan telapak tangan.

Kategori ini lebih khusus daripada sebelumnya. Maksud ucapan Ulama; batal wuduk menyentuh kemaluan sendiri atau orang lain, mahram atau bukan mahram dengan syarat menggunakan telapak tangan. Jika menggunakan belakang tangan atau selainnya, tidak membatalkan wuduk kecuali kemaluan yg disentuh adalah kemaluan wanita bukan mahram. Wuduk tetap terbatal kerana menyentuh kemaluan bukan mahram bukan disebabkan menyentuh kemaluan tetapi disebabkan tersentuh kulit lelaki dengan wanita bukan mahram.

Masalah ketiga dan keempat dengan catatan kalau sentuhan tanpa pelapik. Jika dengan pelapik tidak membatalkan wuduk. Seumpama memakai sarung tangan dan seumpamanya. Ini bukan bermaksud boleh menyentuh wanita bukan mahram dengan lapik, hukum tetap haram. Perbicaraan sekarang berkenaan batal wuduk atau tidak.

Persoalan yang diajukan berhubung pembahagian yang ketiga dan keempat.

MENYENTUH ISTERI MEMBATALKAN WUDUK?

Bagi pendapat Syafieyyah sebagaimana yang disebutkan sebentar tadi tidak menilai sama ada yang disentuh itu isteri atau bukan. Tetapi menilai yang disentuh itu mahram atau tidak. Maka dapat disimpulkan daripada persoalan penanya. Apakah batal wuduk menyentuh isteri. Maka jawapannya: Batal wuduk kerana isteri juga termasuk wanita ajnabiah yang bukan mahramnya. Hanya terdapat pendapat Ulama apakah batal wuduk menyentuh isteri atau tidak.

HADIS BERKENAAN BATAL WUDUK SENTUH ISTERI

Punca khilaf Ulama berhubung masalah ini berdasarkan beberapa hadis;

1) Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Syafie dan Imam Malik;

عَنِ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ سَالِمٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ : قُبْلَةُ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ وَجَسَّهَا بِيَدِهِ مِنَ الْمُلاَمَسَةِ ، فَمَنْ قَبَّلَ امْرَأَتَهُ أَوْ جَسَّهَا بِيَدِهِ فَعَلَيْهِ الْوُضُوءُ.

Maksudnya: Ciuman dan sentuhan seorang kepada isterinya itu termasuk mulamasah. Sesiapa yang mencium atau menyentuh isterinya, maka hendaklah dia berwuduk.

Maksud mulamasah disebutkan di dalam firman Allah Taala di dalam surah an-Nisa’ ayat 43:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَقْرَبُوا الصَّلاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلا جُنُبًا إِلا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu Dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa Yang kamu katakan. dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu Dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum Dengan tanah - debu, Yang suci, Iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

Bagi Ibn Abbas berpendapat bercium itu tidak membatalkan wuduk kerana bagi beliau maksud mulamasah di dalam ayat adalah Jima’.

2) Hadis yang diriwayatkan Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibn Majah daripada Aisyah;

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ لاَ تُعَادُ الصَّلاَةُ مِنَ الْقُبْلَةِ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يُقَبِّلُ بَعْضَ نِسَائِهِ وَيُصَلِّى وَلاَ يَتَوَضَّأُ

Maksudnya: Tak perlu diulang solat disebabkan mencium isteri. Rasulullah mencium beberapa isterinya lalu baginda solat tanpa mengulang wuduk.

Hadis ini yang dipegang sebahagian Ulama yang mengatakan tidak batal wuduk apabila menyentuh isteri.

PENDAPAT ULAMA SETELAH MENILAI SEMUA DALIL-DALIL

Di sisi Hanafiah: menyentuh tidak membatalkan wuduk walaupun disentuh dengan mana-mana anggota badan. Walaupun yang menyentuh dan yang disentuh keduanya bertelanjang. Contohnya kedua suami isteri tidur di dalam satu selimut dan bertelanjang keduanya dan melekat di antara satu sama lain. Wuduk mereka tidak terbatal kecuali pada 2 keadaan:

1) Keluar dari mereka berdua sesuatu seperti Mazi dan seumpamanya.

2) Menyentuh kemaluan suami ke kemaluan isteri. Dalam keadaan ini batal wuduk suami jika;

i) Tegang kemaluan suami

ii) Tidak ada penghalang yang menghalang panas tubuh badan.

Adapun wuduk isteri terbatal hanya dengan melekat pada tubuh suaminya.

Di sisi Malikiyyah: Batal wuduk dengan menyentuh seseorang dan naik syahwat. Sama ada sentuhan dari lelaki atau wanita. Walaupun yang disentuh kanak-kanak yang belum baligh. Walaupun menyentuh isterinya sendiri atau orang asing atau mahramnya atau menyentuh kuku atau rambut atau dengan lapik. Sama ada sentuhan sesama lelaki atau sesama wanita.

Di sisi Hanabilah: Batal wuduk jika menyentuh kulit wanita dengan syahwat dan tanpa lapik. Tidak ada perbezaan antara mahram atau orang asing, kecil ataupun besar.

Di sisi Syafieyyah: Batal wuduk hanya sekadar tersentuh dua kulit antara lelaki dan wanita. Batal yang menyentuh dan disentuh walaupun tanpa syahwat.

KESIMPULAN

Maka dapat difahami daripada pendapat Ulama yang lalu. Sebahagian menjadikan batilnya wuduk kerana syahwat, sebahagian dengan bukan mahram dan sebahagian dengan mukadimah jimak.

Jika ingin berpegang dengan pendapat Ibn Abbas dan sebahagian Ulama yang berpendapat tidak batal wuduk menyentuh wanita, hendaklah berwuduk menepati ulama mazhab tersebut dengan cara melaksanakan wuduk secara sempurna pada wajib dan sunatnya mengikut mazhab syafie. Dari ini, kita diiktiraf oleh semua mazhab berada di dalam keadaan berwuduk. Maka dipersilakan untuk memegang mana-mana pendapat Ulama daripada mazhab-mazhab muktabar. Bahkan dengan memegang pendapat yang mengatakan tidak batal wuduk apabila menyentuh isteri terdapat beberapa faedah;

1) Mampu mengekalkan wuduk sepanjang waktu walaupun ketika sebelum tidur.

2) Bergurau senda dengan isteri disunatkan oleh syarak. Ada kala sebahagian meninggalkan perkara ini demi untuk menjaga wuduk.

3) Pendapat ini disokong dengan hadis yang jelas. Adapun pendapat syafie lebih berhati-hati.

Maka wajar sekali untuk kita menyokong pendapat ulama yang mempertahankan tidak batal wuduk menyentuh isteri demi untuk memaksimumkan ibadat kita masing-masing.

Allahu A’lam

No comments: